suria

Lebih RM70 Juta Harta Pusaka Belum Dituntut

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu jumlah harta pusaka yang belum dituntut di negara ini sehingga 28 Februari lepas ialah RM72 juta.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, ianya kini dilaburkan oleh pihak berkenaan menerusi instrumen pelaburan yang dibenarkan mengikut Akta Pemegang Amanah 1949.

"Amanah Raya Berhad sentiasa mengoptimumkan pelbagai usaha dan inisiatif bagi mengesan waris sah termasuk mendapatkan bantuan daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan menyiarkan iklan di akhbar-akhbar dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan S. Manikavasagam (PKR-Kapar) yang ingin tahu jumlah harta pusaka yang belum dituntut pewaris si mati.

Liew juga menegaskan kerajaan tidak membekukan harta pusaka yang tidak dituntut dan pewaris boleh memohon dengan mengemukakan Surat Kuasa Mentadbir yang dikeluarkan oleh pihak yang diberi kuasa iaitu sama ada Mahkamah Tinggi, Amanah Raya Berhad atau Pejabat Pusaka Kecil.

"Harta-harta berkenaan masih menjadi hakmilik si mati dan berada bersama-sama harta mereka yang masih hidup sehinggalah ianya dituntut," katanya.

Kepada soalan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau), Liew berkata, dalam kes harta mempunyai cukai tertunggak, waris yang menuntut harta itu perlu menjelaskannya bagi mengelakkan tindakan daripada Pejabat Tanah.

"Sekiranya cukai tidak dibayar, jadi pihak Pejabat Tanah melalui Pejabat Pusaka Kecil akan mengambil tindakan sekiranya nilai tanah-tanah tersebut tidak melebihi RM2 juta," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain