suria

Perintah Reman Warga Algeria Dilanjut 2 April

KUANTAN: Polis hari ini berjaya memperolehi perintah reman bagi membenarkan mereka menahan seorang warga Algeria yang merupakan kenalan kepada mangsa bunuh, penganalisis kewangan Choong Khuat Hock sehingga 2 April ini.

Mangsa yang juga penulis tamu akhbar The Star ditemui mati 13 Mac lalu.

Ketua Polis Bentong, Supt Rosli Abdul Rahman berkata, perintah lanjutan itu diperlukan bagi membolehkan pihak polis meneruskan siasatan ke atas kes tersebut.

Setakat ini, lelaki Algeria itu adalah merupakan satu-satunya suspek yang ditahan bagi membantu siasatan.

“Kita masih diperingkat awal siasatan dan oleh itu masih tidak dapat memberikan apa-apa perkembangan berhubung kes tersebut," ujarnya.

Lelaki Algeria itu berjaya ditahan tengah malam Jumaat lepas di sebuah apartment sewa di Taman OUG, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Suspek yang tidak melawan ketika ditahan dikatakan mengenali rapat mangsa sejak setahun yang lalu dan dipercayai orang terakhir dilihat bersama mangsa sebelum dia dilaporkan hilang.

Choong kali terakhir dilihat meninggalkan pejabatnya pada 8 Mac lalu dan laporan mengenai kehilangannya dibuat dua hari selepas beliau didapati tidak menghadiri beberapa mesyuarat penting.

Mayatnya yang hampir reput telah ditemui oleh Unit Peronda Polis di kawasan ladang kelapa sawit bersebelahan Lebuhraya Karak dekat Bentong.

Dipercayai Choong telah meninggal dunia sekurang-kurangnya empat hari sebelum dia ditemui.

Bedah siasat juga mendapati, kematian Choong adalah disebabkan kecederaan pada dadanya akibat hentakan mengejut.

Mayatnya kemudian dikenalpasti oleh bapanya, Datuk Freddie Choong dan juga pembantu rumahnya di Hospital Temerloh berdasarkan pakaiannya dan juga rekod gigi.

Ujian DNA turut mengesahkan yang mayat tersebut adalah Choong.

Mendiang adalah anak saudara pemain badminton terkenal negara Eddie Choong.

Mereka berasal dari keluarga yang terkenal di Pulau Pinang.

Artikel Lain