suria

Ribut Di Perth: Tiada Laporan Rakyat Malaysia Terkorban Setakat Ini

KUALA LUMPUR: Tiada laporan rakyat Malaysia cedera dalam kejadian ribut yang melanda Perth di Australia petang semalam.

Seorang pegawai Pejabat Konsulat Malaysia di Perth ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang berlaku semalam tidak menyebabkan kehilangan nyawa.

"Kejadian tersebut berlaku pada jam 3.30 petang semalam, dan setakat ini, tiada lagi laporan tentang rakyat Malaysia yang terkorban ataupun cedera diterima," katanya.

Menurut beliau, ribut tersebut berlaku selepas lima bulan tanpa hujan di Perth dan ia berlaku secara tiba-tiba tanpa amaran dari pihak berkuasa.

"Kebanyakan rumah musnah dalam kejadian terbabit dan kira-kira 150,000 penduduk berada dalam kegelapan kerana bekalan eletrik juga terputus. Sehingga sekarang, bekalan masih belum pulih," katanya.

Katanya, pihak berkuasa masih dalam keadaan berjaga-jaga kerana ribut dijangka berlaku lagi, hari ini.

"Kerja-kerja memulihkan bekalan elektrik dan kemudahan lain sedang giat dijalankan sekarang dan lapangan terbang juga dikatakan akan beroperasi semula pagi ini," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Media Malaysia Airlines Berhad (MAS), Tan Wai Fong berkata, penerbangan Malaysia ke Perth tidak terjejas dan berjalan seperti biasa.

Katanya, hanya penerbangan domestik yang dibatalkan manakala penerbangan antarabangsa berjalan mengikut jadual. MAS mempunyai sembilan penerbangan seminggu ke bandaraya itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain