suria

Penolong Pengarah JKR Bebas Tuduhan Rasuah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan seorang Penolong Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur daripada tuduhan menerima suapan berbentuk jam tangan lima tahun lepas.

Hakim Rosbiahanim Ariffin membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Salihin Abdul Rahman, 33, yang dituduh menerima jam tangan jenama Tag Heuer bernilai RM6,831 daripada Tan Eng Tik daripada Kontraktor E.T. Tan Enterprise, di sebuah kedai kopi di Segambut pada 14 Sept 2005, berhubung projek pembinaan Masjid Taman Seri Segambut di sini.

Salihin diwakili peguam Azwan Abdul Wahab manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Salihin melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan yang banyak menyokong beliau. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain