suria

Bekas Tentera Terselamat Daripada Hukuman Mati

PUTRAJAYA: Seorang bekas tentera hari ini terlepas daripada hukuman mati selepas pihak pendakwaan meminda tuduhan bunuh kepada hanya menyebabkan kematian anak tirinya yang berumur empat tahun.

Shahrul Izwan Ahmad Zaidi, 33, djatuhkan hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini selepas mengaku bersalah dalam tuduhan pindaan.

Pihak pendakwaan memutuskan untuk meminda dakwaan itu berikutan bukti daripada ibu mangsa yang memberi keterangan semasa perbicaraan bahawa beliau mendengar Shahrul Izwan berkata dia tidak berniat membunuh mangsa.

Hakim-hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Hasan Lah dan Datuk Ahmad Maarop mengarahkan Shahrul Izwan menjalani hukuman penjara mulai tarikh dia ditangkap pada 8 Jan 2003.

Panel hakim itu menolak sabitan dan hukuman mati ke atas Shahrul.

Pada 8 September 2006, Mahkamah Tinggi Taiping menjatuhkan hukuman mati ke atas Shahrul Izwan selepas mendapati dia bersalah membunuh Nur Syafrida Md Shukor di sebuah rumah di Kampung Pasir, Kamunting, Taiping pada kira-kira pukul 7 malam pada 25 Jun, 2002.

Shahrul Izwan mengahwini ibu mangsa yang mempunyai tiga anak daripada perkahwinan terdahulu termasuk Nur Syafrida yang merupakan anak bongsu. Shahrul dan ibu mangsa mempunyai dua anak yang kini berumur tujuh dan lapan tahun.

Sebelum tinggal bersama ibunya, mangsa dan dua adik beradiknya dipelihara datuk sebelah ibunya di Gemas, Negeri Sembilan.

Menurut fakta kes, Shahrul Izwan membawa kanak-kanak itu untuk dimandikan di rumah mereka kerana ibunya pada masa itu mengandung lapan bulan.

Ibu mangsa kemudian terdengar air dipercikkan ke lantai dengan hos getah dan kira-kira setengah jam kemudian, tertuduh membawa Nur Syafrida dan meletakkan kanak-kanak itu di atas tikar di ruang tamu rumah itu bagi menyedarkannya.

Ibu mangsa juga memberi keterangan bahawa apabila beliau mengangkat kaki kanak-kanak itu beliau ternampak "ada lubang besar dan beliau tidak pasti sama ada lubang di faraj atau duburnya dan lihat seperti ada usus yang macam nak terkeluar daripada lubang itu".

Mangsa tidak bergerak dan tertuduh meminjam kereta kawannya untuk membawa mangsa. Tertuduh dan ibu mangsa kemudian mengebumikan jenazah Nur Syafrida di dalam kubur yang cetek di Sungai Siput, kira-kira 50 km dari rumah mereka.

Datuknya kemudian datang untuk membawa Nur Syafrida pulang tetapi diberitahu oleh ibu mangsa bahawa kanak-kanak itu hilang semasa melawat bandar peranginan Bukit Merah.

Ibu mangsa membuat laporan polis berikutan bapanya enggan pulang dan semasa disoal siasat, ibu mangsa mendedahkan bahawa anaknya mati dan dikebumikan di Sungai Siput.

Polis menemui tinggalan rangka kanak-kanak itu enam bulan kemudian yang membawa kepada penangkapan Shahrul Izwan.

Sebelum itu, peguam bela Shahrul Izwan, K.Subramaniam meminta mahkamah mengenakan hukuman penjara yang berpatutan ke atas anak guamnya tetapi Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahannya.

Sambil merujuk kepada gambar si mati, beliau berkata kanak-kanak itu comel dan "bayangkan kalau anak itu dapat membesar menjadi dewasa.

Namun, katanya, ia hanya tinggal kenangan kerana satu nyawa sudah hilang dan hukuman yang dijatuhi mahkamah pasti tidak akan mengembalikan anak itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain