suria

Tabung Haji Tidak Taja Individu Atau Penyokong Parti Politik Tunai Haji

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) tidak menaja mana-mana individu atau penyokong parti politik bagi tujuan menunaikan haji, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Beliau berkata TH menaja Rombongan Am (RA) yang terdiri daripada anggota Lembaga Pengarah TH dan anggota-anggota jawatankuasa di bawah Lembaga Pengarah yang menggunakan kelayakan mereka menunaikan fardhu haji.

"Kemudahan yang diberi kepada RA adalah penerbangan haji pergi dan balik, kemudahan pengangkutan di Tanah Suci, penginapan di Mekah dan Madinah, perkhidmatan perubatan, sajian makanan harian dan elaun penghargaan," katanya menjawab soalan Dr Lo'Lo' Mohamad Ghazali (PAS-Titiwangsa) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Dr Lo'Lo' ingin tahu tentang individu atau kumpulan RA yang pergi menunaikan haji secara ditaja sepenuhnya oleh Lembaga Tabung Haji sedangkan mereka ini adalah daripada kalangan penyokong parti politik.

Dalam soalan tambahannya, beliau mendakwa bilangan yang mengikuti RA pada tahun ini hampir 100 orang dan beliau juga ingin tahu sama ada pendeposit-pendeposit TH telah dimaklumkan bahawa wang mereka digunakan untuk perbelanjaan RA yang mendapat layanan VVIP.

Mashitah berkata pada tahun lepas iaitu 1430 hijrah jumlah RA yang ditaja oleh TH hanya 11 orang dan mereka dibenarkan membawa pasangan masing-masing menjadikan jumlah keseluruhan 22 orang sahaja.

Beliau berkata senarai RA itu merangkumi menteri dan isteri, Pengerusi TH dan isteri, Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TH serta isteri, lima anggota Lembaga Pengarah dan tiga anggota Majlis Penasihat Haji bersama pasangan masing-masing.

"Telahan Yang Berhormat bahawa TH taja 100 orang adalah fitnah, besar kemungkinan ada antara jemaah haji yang pergi dari pakej-pakej tersendiri yang dibayar dengan harga yang agak mahal tetapi ia bukan tajaan dari TH," katanya.

Beliau berkata pendeposit tidak perlu dimaklumkan mengenai urusan ini kerana tajaan itu termasuk dalam kos operasi yang ditanggung.

"Mereka ini perlu maklum dan dapat gambaran sebenar dalam setiap isu yang berlaku di Tanah Suci, jadi kehadiran mereka untuk bertugas dan memantau apa yang berlaku di Tanah Suci," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain