suria

Tujuh Empangan Susut Di Selangor, KL Dan Putrajaya

KUALA LUMPUR: Paras air di tujuh empangan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mengalami penyusutan ekoran berlarutan cuaca panas dan kering, menurut Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) hari ini.

Tujuh empangan yang menunjukkan penyusutan paras takungan air dalam tempoh dua bulan lalu ialah Empangan Sungai Selangor, Sungai Tinggi, Semenyih, Sungai Langat, Klang Gates, Tasik Subang dan Empangan Sungai Batu.

Penyusutan paling ketara ialah di Empangan Tasik Subang yang menyusut pada tahap maksimum iaitu kepada 77.05 peratus simpanan atau 37.26 meter Ordinary Datum Level (ODL) setakat 25 Februari lalu.

Selain itu, paras Empangan Klang Gates juga telah mengalami penurunan dari paras maksimum iaitu 100 peratus simpanan atau 95.22 meter ODL sejak 15 Disember lalu dan mencapai 81.7 peratus simpanan atau 93.17 meter ODL pada 25 Februari lalu disebabkan taburan hujan yang rendah.

"Bagaimanapun, berdasarkan rekod dan analisa seperti yang telah dijalankan, sehingga akhir Mac ini, paras simpanan air di ketiga-tiga empangan akan terus menurun," kata Syabas dalam kenyataan itu.

Namun begitu, keadaan itu tidak memerlukan pengurangan pelepasan air dari empangan dan juga pengeluaran air daripada loji.

Di samping itu, beberapa batang sungai seperti Sungai Labu, Sungai Langat dan Sungai Selangor yang membekalkan air ke loji-loji rawatan air di negeri Selangor juga didapati mengalami penyusutan paras air.

Jabatan itu berkata, walaupun penyusutan itu masih belum di tahap yang membimbangkan dan catuan bekalan air juga masih belum lagi diperlukan setakat ini, tetapi sekiranya cuaca panas dan kering berlanjutan sehingga Mei ini, ia boleh mengakibatkan kadar pencemaran sungai meningkat termasuk peningkatan kandungan ammonia yang tinggi disebabkan oleh faktor pencairan yang rendah.

"Ini boleh mengakibatkan loji rawatan air terpaksa diberhentikan operasinya kerana sumber air mentah tercemar ini tidak boleh dirawat dan selanjutnya menyebabkan gangguan bekalan air kepada para pengguna," katanya.

Syabas juga akan mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan bagi memantau situasi gangguan bekalan air dari semasa ke semasa serta menguruskan penghantaran bekalan air sementara ke kawasan-kawasan yang terlibat dengan gangguan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahrain Pembohong Besar

Artikel Lain