suria

Mayat Nelayan Hilang Ditemui Terapung Di Laut

KANGAR: Mayat nelayan yang terjatuh ke dalam laut ketika menangkap ikan bersama rakan-rakannya Selasa lalu, ditemui terapung di laut hari ini.

Mayat Fisol Othman, 37, dari Kampung Seberang Tok Pi, Kuala Perlis ditemui oleh kakitangan sebuah feri yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Perlis ke Pulau Langkawi, kira-kira pukul 2.20 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintenden (DSP) Ismail Che Isa berkata, mangsa disedari hilang oleh enam rakan botnya kira-kira pukul 9 malam.

Dia dipercayai terjatuh ke dalam laut tidak lama selepas bot nelayan tersebut meninggalkan Kuala Perlis.

Polis menerima laporan tentang kehilangannya pada pukul 1.00 pagi Rabu dan gerakan mencari segera dilakukan di sekitar perairan Kuala Perlis dan Sanglang oleh pasukan marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat dan nelayan tempatan, kata Ismail. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahrain Pembohong Besar

Artikel Lain