suria

KPDNKK Larang Jualan Rokok Tidak Sah

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor hari ini mengingatkan semua premis perniagaan supaya tidak menjual rokok tidak sah walaupun ia mendapat permintaan tinggi kerana menyalahi undang-undang.

Timbalan Pengarahnya Ahmad Mad Isa berkata peniaga, pengedar dan pengimport rokok berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah perintah 3(1) Akta Kawalan Harga 1980 yang boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata dalam perkembangan terkini, anggota penguatkuasa KPDNKK Selangor Rabu lepas melakukan serbuan terhadap dua premis di Klang dan Kuala Kubu Bharu serta menemui rokok tidak sah yang dijual dengan berleluasa.

"Antara jenama rokok tidak sah yang mendapat permintaan tinggi ialah Nusantara Gudang Garama, Surya Gudang Garam, Richman, Juffman, Canyon, Romantik, Modeng dan Goldrush," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ahmad berkata operasi itu dijalankan hasil aduan dari syarikat pengeluar rokok tempatan yang menyatakan perniagaan mereka terganggu ekoran penjualan rokok tidak sah yang masuk ke negara ini secara haram.

Beliau berkata rokok itu dijual pada harga RM3 (kerana masuk secara haram tanpa cukai) berbanding RM6.40 harga lantai yang ditetapkan kerajaan.

Dalam serbuan itu, 103 kotak rokok dirampas dengan nilai RM516, katanya.

Beliau berkata nama dan alamat pengimport yang terdapat pada kotak rokok yang dirampas itu juga didapati palsu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sementara itu, Ahmad berkata sehingga pertengahan Mac tahun ini KPDNKK Selangor mencatatkan 150 kes membabitkan kesalahan harga, bekalan, kepenggunaan, perihal dagangan dan hakcipta dengan nilai rampasan RM1.2 juta.

Beliau berkata antara kes yang dicatatkan termasuklah peniaga yang menjual gula melebihi harga siling, tidak meletakkan tanda harga, cakera padat dan cakera digital cetak rompak, perisian komputer cetak rompak dan penyelewengan diesel subsidi.

Katanya turut dicatatkan ialah tiga kes sijil logo halal palsu dan tamat tempoh pada label makanan jenis sos dan kicap serta karipap sejuk beku. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahrain Pembohong Besar

Artikel Lain