suria

Peniaga Pakaian Terpakai Edar Dadah Ditahan

KUALA TERENGGANU: Taktik seorang lelaki yang menjadikan perniagaan pakaian terpakai sebagai topeng untuk menjalankan kegiatan pengedaran pil kuda terbongkar apabila dia ditahan dalam serbuan di kedainya di Kampung Gong Datok, Jalan Mengabang Telipot di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSNJN) negeri, Supritendan Roslan Abd Wahid berkata, lelaki berumur 27 tahun itu ditahan di kedainya yang terletak berhampiran sebuah institusi pengajian tinggi pada kira-kira pukul 4.30 petang.

"Lelaki berkenaan dipercayai telah hampir tiga tahun terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah jenis pil kuda dan kedai bundle yang dibukanya sehingga pukul lima pagi setiap hari sejak setahun setengah lalu adalah topeng untuk dia menjalankan kegiatan haramnya itu.

"Hasil siasatan mendapati kebanyakan pelanggannya terdiri daripada remaja dan pelajar termasuk penuntut institusi pengajian tinggi berhampiran kedainya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, polis merampas 795 biji pil kuda bernilai kira-kira RM28,000 yang disembunyikan dalam sebuah beg bimbit di bawah meja di kedai itu. Turut dirampas wang tunai RM10,000 yang dipercayai hasil jualan dadah.

Roslan berkata, siasatan juga mendapati lelaki yang berasal dari Kampung Seberang Tepoh itu merekrut penuntut IPT berkenaan dan golongan remaja untuk menjadi pengedar.

"Lelaki terbabit kini ditahan reman selama seminggu mulai hari ini dan kes itu disiasat mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain