suria

Ramai Lagi Dijangka Keluar: Ahmad Said

KUALA TERENGGANU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Ahmad Said menjangkakan akan lebih ramai lagi anggota dari pembangkang keluar parti kerana sudah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap para pemimpin pakatan itu.

Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat selepas seorang demi seorang anggota pembangkang mengumumkan keputusan keluar parti dan menyertai Umno serta menjadi wakil rakyat bebas kerana merasa kecewa dengan parti yang mereka sertai.

"Ini jelas kerana pembangkang tidak mempunyai hala tuju yang jelas selain mengamalkan perjuangan untuk kepentingan peribadi. Ini berbeza dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang memperjuangkan agenda rakyat dan hala tuju kita lebih jelas," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pengumuman keluar parti oleh beberapa anggota pembangkang baru-baru ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Intel Electronik (Malaysia) Sdn Bhd dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec).

Menteri Besar berkata, sungguhpun begitu, Umno dan BN tidak pernah merasa selesa dengan keadaan sedemikian dan akan terus berusaha untuk menambah baik parti bagi meraih sokongan rakyat.

"Umno akan terus bersatu. Saya tak kata Umno semakin selesa (dengan keretakan pembangkang), tetapi bertambah baik. Bagaimanapun, kita tidak boleh berasa selesa.

"Mengenai mereka yang keluar itu, akhirnya mereka telah sedar bahawa parti yang mereka sertai tiada hala tuju. Selain itu, mereka juga (pembangkang) tidak konsisten dalam perjuangan mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain