suria

Fomca Gesa Kerajaan Bangunkan Serentak Sistem Pengangkutan Bandar Dan Luar Bandar

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) hari ini menggesa kerajaan supaya membangunkan serentak sistem pengangkutan awam di bandar dan luar bandar bagi menjimatkan subsidi bahan api dengan lebih banyak.

Sehingga kini, kerajaan hanya mengumumkan program bagi menambah baik sistem pengangkutan awam di bandar dan tidak menyatakan sebarang program bagi sektor luar bandar, kata Presiden Fomca Datuk N. Marimuthu.

Katanya pengangkutan awam langsung tidak ada di sesetengah kawasan di luar bandar dan jika pun pengangkutan awam disediakan, jadual perjalanannya tidak tetap manakala kenderaan yang digunakan pula adalah bas dan teksi lama.

Beliau memberitahu Bernama ketika ini hanya 20 peratus daripada penduduk Malaysia yang menggunakan pengangkutan awam disebabkan jadual tidak tetap, kekurangan bas dan kereta api serta perkhidmatan yang lemah.

Dalam tempoh kira-kira 10 tahun akan datang, sekiranya 50 peratus daripada penduduk Malaysia dapat menggunakan pengangkutan awam, negara akan memperoleh manfaat yang sangat besar melalui pengurangan pelepasan karbon dioksida serta mengatasi kesesakan lalu lintas selain menjimatkan subsidi bahan api, katanya.

Beliau mencadangkan subsidi silang bagi pengendalian pengangkutan awam, di mana sektor bandar yang lebih menguntungkan dapat memberi subsidi kepada kawasan luar bandar, dan menggesa kerajaan supaya mengkaji model yang sedia ada di dunia, terutamanya sistem di Jepun dan Singapura, untuk mengadakan sistem yang sesuai bagi Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain