suria

Rakyat Perlu Teladani Semangat Harimau Jayakan Transformasi

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon mahu semangat kegagahan harimau sempena Tahun Baru Cina kali ini disuntik dalam usaha untuk menjayakan proses transformasi kerajaan.

"Saya doakan dalam Tahun Harimau ini kita ada kekuatan, kegagahan dan keberanian harimau untuk teruskan kerja transformasi kerajaan yang diilhamkan oleh Perdana Menteri berdasarkan gagasan 1Malaysia.

"Kita berazam untuk bekerja kuat dengan semangat harimau tetapi tanpa keganasan harimau," kata Presiden Gerakan itu kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Gerakan di Menara PGRM di sini hari ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta isteri masing-masing turut memeriahkan sambutan itu.

Koh juga berharap negara akan terus menjadi aman damai serta menjadi tauladan kepada dunia dalam tahun Harimau itu.

Sementara itu, Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu yang turut ditemui pada majlis rumah terbuka Gerakan itu berkata, sambutan rumah terbuka memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama dan bersatu hati selaras dengan gagasan 1Malaysia.

"Saya harap ini akan menjadi contoh kepada dunia, walaupun ada beberapa bangsa dan kaum di negara ini, akhirnya kita bersatu padu," katanya.

Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat pula berkata, amalan rumah terbuka seperti ini yang dihadiri pelbagai lapisan kaum perlu diteruskan kerana ia satu perkara yang baik. - BERNAMA

Artikel Lain