suria

Isu Rahsia Negara Diselesai Ikut Saluran Diplomatik

BAGAN DATOH: Isu kedutaan asing yang memperalatkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mendapatkan maklumat rahsia negara akan diselesaikan menerusi saluran diplomatik, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, melalui saluran diplomatik berkenaan, pihak yang terbabit akan diberitahu supaya tidak lagi melakukan sesuatu perkara yang boleh menjejaskan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Ahmad Zahid mengesahkan penjelasan terperinci mengenai perkara itu telahpun disampaikannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas beliau mendedahkan perkara itu, semalam.

"Demi menjaga hubungan diplomatik dengan negara jiran, Perdana Menteri meminta supaya tidak didedahkan kedutaan yang terbabit dalam kes ini.

"Perdana Menteri berharap supaya Kementerian Pertahanan memberitahu melalui kaedah diplomatik dalaman kepada pihak berkenaan agar perkara ini dapat dijelaskan dengan baik tanpa mendedahkan identiti negara terbabit," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Juara Rakyat Parlimen Bagan Datoh di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau mengharapkan cubaan untuk mendapatkan maklumat rahsia negara tidak akan diulangi oleh negara jiran berkenaan yang mempunyai hubungan pertahanan dengan negara ini.

"Kita berharap hubungan diplomatik dan diplomasi kententeraan dengan negara berkenaan terus terjalin dengan baik," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain