suria

Bekas Pegawai Kewangan K'tan Didakwa Bersubahat Palsukan Dokumen Tuntutan Projek Burung Puyuh

KOTA BAHARU: Bekas Pegawai Kewangan Kelantan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan bersubahat membuat tuntutan palsu membabitkan projek Istana bernilai RM267,960 pada Disember 2008.

Bekas Pegawai Kewangan itu, Datuk Shkori Mohammad, 57, dituduh melakukan kesalahan itu apabila Yusri Che Noh memberikan dokumen, yang mengandungi butiran palsu, berbentuk invois bernombor 1302, bertarikh 3 Disember 2008, bertajuk "Tuntutan Membekal Bahan dan Kerja-Kerja Membina" bagi menyiapkan Rumah Puyuh di Projek Diraja, Banggol di sini, dengan keluasan 7,656 kaki persegi bernilai RM267,960.

Shkori dituduh bersubahat dalam tuntutan itu kerana ketika dokumen tuntutan diserahkan kepada beliau di pejabat Perbendaharaan Negeri, di sini, pada Disember 2008, projek Rumah Puyuh itu tidak dilaksanakan.

Shkori didakwa mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Zainal L. Salleh membenarkan Shkori diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta pasportnya dipegang mahkamah dan menetapkan tarikh 2 dan 3 Mac untuk sebutan kes.

Zainal bersetuju kes Shkori disebut serentak dengan sebutan kes Yusri, 39, seorang kontraktor yang didakwa pada 13 Januari lalu berhubung lima tuduhan melakukan pemalsuan invois dan pesanan membabitkan projek Istana dan Kerajaan Negeri.

Antara lain, Yusri didakwa mengemukakan invois Yus Construction & Trading kepada Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Shkori Mohamed, pada 3 Mac 2009, yang mengandungi butiran palsu mengenai bekalan dan kerja-kerja tar tempat letak kereta Istana Negeri seluas 2,436 meter persegi pada harga RM27 semeter persegi membabitkan tuntutan RM65,772.

Shkori diwakili peguamnya, Datuk Abdul Aziz Derashid manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ng Yuun Yiing dan Izani Wan Ishak.

Turut hadir pada pendakwaan itu sebagai peguam pemantau Istana Kelantan, Datuk Shukri Mohammad.

Abdul Aziz ketika ditemui pemberita berkata pihaknya akan membuat representasi kepada Pejabat Peguam Negara bagi memohon pertuduhan itu ditarik balik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain