suria

PM Beri Harapan Baru Kepada Kaum India - Samy Vellu

KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberikan satu harapan baru kepada masyarakat India di negara ini apabila memulakan inisiatif-inisiatif baru kerajaan bagi kaum itu.

Memuji Najib kerana menjadi Perdana Menteri kedua Malaysia yang menghadiri sambutan Thaipusam di sini, Samy Vellu berkata kaum India akan terus memberi sokongan kepada kepimpinan Najib.

"Beliau telah menyuntik keyakinan kepada kaum India, dan sebagai balasannya masyarakat India menyokong semua inisiatif yang diusahakannnya," kata Samy Vellu pada majlis sambutan Thaipusam di sini malam tadi, yang perasmiannya disempurnakan oleh Najib.

Samy Vellu berkata "negara kini sedang dilanda arus perubahan" dan Najib kini boleh bergantung kepada sokongan kaum India untuk pembaharuan-pembaharuan yang diusahakannya di negara ini.

Presiden MIC itu berkata kehadiran Najib di kuil Sri Subramaniyar Swami di Batu Caves bagi menyaksikan sambutan Thaipusam adalah satu manifestasi konsep "1Malaysia", gagasan yang diperkenalkan Perdana Menteri.

"Perdana Menteri telah menunjukkan bahawa beliau merupakan pemimpin bagi semua rakyat Malaysia," kata Samy Vellu.

Katanya masyarakat India mahu maju dalam semua bidang dan memerlukan sokongan kerajaan.

Beliau berkata kaum India mesti bersatu padu dan berbicara dengan satu suara jika mereka mahu mencatat kemajuan.

Lawatan Najib malam ini menjadikan beliau perdana menteri kedua dalam sejarah negara melawat kuil Hindu sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 30 tahun lepas.

Ayahanda Najib, Tun Abdul Razak Hussein merupakan perdana menteri pertama yang menghadiri perayaan Thaipusam ketika menjadi perdana menteri lebih 30 tahun lepas.

Penganjur Thaipusam kali ini menjangkakan lebih 1.5 juta pengunjung berhimpun di kuil itu bagi menyambut perayaan penganut agama Hindu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain