suria

Dua Maut Termasuk Penuntut UTM Dari Sudan

JASIN: Dua terbunuh termasuk seorang penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, dari Sudan, setelah van yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Jasin-Merlimau di sini.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supritendan Che Suza Che Hitam berkata, Sami Mahmoud Eldoum Hassan, 34, berasal dari Khartoum, Sudan, penuntut peringkat Doktor Falsafah (PhD) kejuruteraan awam di UTM yang duduk di bahagian belakang van, maut di tempat kejadian.

"Pemandu van, Nabil Fikri Hamidon, 24, yang cedera parah maut ketika dikejarkan ke hospital daerah di sini manakala seorang lagi penumpang van yang duduk di sebelah pemandu, Afif Abdul, 23, kini menerima rawatan di Hospital Tangkak, Johor, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, van UTM itu yang menghala ke Johor Baru telah merempuh belakang sebuah treler di sebelah kiri yang dipercayai dipandu perlahan pada kejadian itu kira-kira pukul 7 petang semalam.

Seorang jurucakap UTM ketika dihubungi berkata, penuntut yang terbunuh itu dalam perjalanan balik ke kampusnya di Skudai setelah mendapatkan bahan kajian di Kuala Lumpur.

Sementara itu, jenazah penuntut Sudan tersebut akan dibawa ke UTM untuk disolatkan sebelum dihantar pulang ke negaranya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain