suria

PM Rafak Takziah Kepada Kerabat Diraja Johor

CHENNAI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merafak takziah kepada kerabat diraja Johor di atas kemangkatan Sultan Johor Sultan Iskandar malam tadi.

"Saya bagi pihak kerajaan dan rakyat merakamkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultanah Zanariah dan anakanda-anakanda serta kerabat baginda di atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi Perdana Menteri ke India selama lima hari sejak Selasa lepas.

Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman mengumumkan Sultan Iskandar mangkat pada pukul 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri di Johor Baharu.

Najib berkata: "Baginda Sultan merupakan seorang raja yang amat prihatin terhadap segala perkembangan dalam negerinya dan juga sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.

"Baginda memainkan peranan yang besar dalam pembangunan dan kejayaan negeri Johor dan selalu menekankan betapa pentingnya rakyat Malaysia bersatu padu," kata Perdana Menteri.

Berikutan kemangkatan Sultan Johor, Najib memendekkan lawatannya ke India dan berlepas pulang ke tanah air pada pukul 8.30 malam tadi waktu tempatan dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang awal pagi ini.

Mengikut jadual, Najib sepatutnya berlepas pulang petang ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain