suria

Dua Penyamun 37 Kedai 24 Jam Ditahan

KUALA LUMPUR: Kegiatan licik dua lelaki tempatan yang menyamun 37 rangkaian kedai serbaneka 24 jam (7-Eleven) sekitar bandar raya sejak setahun lepas, akhirnya tumpas apabila ditahan polis Ahad lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Supt Azri Abdul Rahman berkata mereka ditahan hasil intipan polis berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan maklumat orang ramai.

Beliau berkata identiti lelaki yang berumur 30 dan 32 tahun itu dikenal pasti apabila mereka menyamun wang tunai berjumlah RM56.20 dan satu minuman tin berharga RM1.10 di sebuah kedai di Jalan Bangsar Sabtu lepas.

Lelaki pertama berusia 30 dari Pantai Dalam ditahan di sebuah restoran berhampiran kawasan perumahan Pantai pada pukul 4 petang Ahad yang kemudiannya membawa kepada penahanan rakan jenayahnya dua jam kemudian.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati lelaki kedua mempunyai 11 rekod jenayah serta pernah empat kali dipenjarakan atas pelbagai kesalahan termasuk membunuh tanpa niat antara 1996 hingga 2009.

Hasil siasatan mendapati kedua-dua lelaki yang juga penagih dadah itu mengaku terbabit dalam kegiatan samun di 37 kedai 7-Eleven di Brickfields dan Bangsar sejak setahun lalu dipercayai bagi tujuan membeli dadah.

Azri berkata polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda EX-5 yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan itu selain rangkai kunci dan sebilah pisau berukuran 12 inci.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 50 tahun yang disyaki pengedar dadah ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah Taman OUG Petaling, di sini, dua hari lepas.

POlis turut merampas 56 gram dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM12,000 daripada lelaki itu, kata Azri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain