suria

Pakatan Rakyat Naikkan Elaun Ahli Majlis

PULAU PINANG: Elaun bulanan bagi ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dinaikkan kepada RM700 sebulan, berbanding RM600 sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Pengurusan Alam Sekitar Negeri Chow Kon Yeow ketika mengumumkan demikian berkata, keputusan menaikkan elaun itu dibuat berdasarkan kepada keperluan semasa dan beberapa faktor lain.

"Selain itu ia juga mencetus semangat dan insentif supaya setiap ahli majlis yang dilantik dapat mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti masyarakat, bagi melaksanakan tugas dengan lebih baik," katanya kepada pemberita pada majlis memperkenalkan barisan ahli MPPP dan MPSP yang baru bagi tahun ini.

Beliau berkata, selain elaun bulanan, elaun menghadiri mesyuarat dan acara rasmi yang diadakan juga dinaikkan kepada RM60 sebulan berbanding RM50 sebelum ini.

Katanya lagi, pelantikan setiap ahli majlis itu adalah untuk tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2010, dengan majlis angkat sumpah bagi ahli MPSP diadakan Sabtu ini manakala ahli MPPP pada Ahad ini.

Sementara itu pada majlis yang sama, YTL Land & Development Bhd (YTL Land) menyerahkan cek berjumlah RM8.2 juta kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sebagai bayaran premium pegangan hak milik kekal dan mengubah syarat nyata tanah kepada 'untuk tujuan kediaman dan perniagaan sahaja' bagi tanah Pertubuhan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) Heritage Hotel Sdn Bhd (PHH).

PTG diwakili oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng manakala YTL Land diwakili oleh Pengarah Eksekutifnya Datuk Yeoh Geok Kian.

Cadangan pelan projek yang terletak di lingkungan tapak warisan itu membabitkan pembangunan tiga blok 76 unit pangsapuri mewah enam tingkat (termasuk satu tingkat bawah tanah), sebuah rumah kelab dan restoran.

Yeoh berkata, selain projek sedia ada, YTL Land juga mempunyai kerjasama lain dengan PDC di Seberang Jaya.

Artikel Lain