suria

Pemandu Trak Ditemui Mati Dengan Kesan Tikaman

KUALA LUMPUR: Niat seorang lelaki keluar memancing di sebuah paya di Bukit Beruntung, Rawang dekat sini bertukar tragedi apabila dia ditemui mati dengan kesan tikaman di kepala, muka dan perut, di dalam paya, semalam.

Mayat M.Segar, 39, ditemui kira-kira jam 10.45 pagi ini oleh seorang penghuni Apartmen Dahlia, yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat penemuan mayat.

Mangsa, seorang pemandu trak, yang berasal dari Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, Rawang dekat sini dikatakan telah keluar rumah petang semalam untuk memancing dan isterinya telah membuat laporan polis jam 11 malam setelah suaminya tidak pulang.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Affandi Yahya berkata, kira-kira 30 penduduk taman perumahan di situ termasuk anggota Rukun Tetangga dan Rela giat mencari mangsa namun gagal menemuinya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain