suria

Kastam Johor Gagalkan Cubaan Seludup Masuk Minuman Keras

JOHOR BAHARU: Kastam Johor berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk minuman keras ke negara apabila menahan dua kontena dan sebuah lori berisi minuman keras dalam tiga kejadian pada 1 Januari lepas.

Pengarahnya Datuk Mohamad Subre Ishak di dalam sidang akhbar hari ini berkata rampasan pertama dilakukan pada pukul 12.30 tengah hari di Taman Perindustrian Kota Puteri, Masai yang dijadikan pusat transit barangan tiada pelepasan Kastam.

"Hasil pemeriksaan mendapati kontena berukuran 20 kaki terbabit bermuatan minuman keras yang tidak mempunyai sebarang label. Pasukan penguatkuasa turut menemui kotakkotak mercun di lokasi," kata beliau.

Menurutnya, kotakkotak itu mengandungi 3,556kg mercun pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM88,900 melibatkan duti dan cukai sebanyak RM57,785, manakala 2,247 kartun minuman keras itu dianggarkan RM97,070 dan cukainya sebanyak RM186,787.

Mohamad Subre berkata dua suspek direman selama 14 hari mulai semalam manakala seorang lagi dibebaskan dengan jaminan Kastam untuk membantu siasatan.

Satu jam selepas kejadian pertama, katanya Kastam menjejaki sebuah kontena di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang yang disyaki membawa muatan minuman keras tidak berkastam.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati kontena itu turut membawa muatan sebanyak 2,247 karton minuman keras yang dianggarkan bernilai sebanyak RM97,070 manakala cukai dan dutinya sebanyak RM186,787.

Siasatan awal pihaknya mendapati, kesemua barangan itu belum lulus Kastam.

Mohamad Subre berkata pasukan penguatkuasa Kastam juga menyerbu sebuah premis di Kulai dan menemui sebuah lori membawa muatan minuman keras tiada kelulusan Kastam.

Hasil pemeriksaan, kata beliau pihaknya menemui 1,280 karton minuman keras bernilai RM55,296 membabitkan duti dan cukai sebanyak RM147,204.

Seorang lelaki ditahan reman selama 14 hari mulai semalam untuk siasatan lanjut, katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain