suria

Najib Hadiri Sidang Perubahan Iklim Di Copenhagen

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadiri segmen Peringkat Tinggi Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Copenhagen, Denmark dari 16 hingga 18 Disember ini.

Perdana Menteri akan diiringi oleh isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas, serta pegawai-pegawai kanan kementerian itu, Kementerian Luar, Pejabat Perdana Menteri dan agensi-agensi lain.

Menurut kenyataan Kementerian Luar di sini hari ini, Najib dijadual menyampaikan kenyataan mengenai pendirian Malaysia tentang perubahan iklim pada 17 Disember.

"Kehadiran Perdana Menteri jelas membuktikan betapa pentingnya Malaysia menganggap isu perubahan iklim," tambah kenyataan itu.

Ia menyatakan Najib akan juga menghadiri Sesi Pembukaan untuk Ketua-ketua Negara atau Kerajaan yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Denmark dan jamuan malam diberikan oleh Queen Denmark dan Prince Consort.

Persidangan itu akan meliputi 15th Conference of Parties (COP 15) kepada Konvensyen Rangka Kerja mengenai Perubahan Iklim PBB (UNFCCC) dan 5th Conference of Parties kepada Protokol Kyoto (COP/MOP 5).

Matlamatnya ialah untuk mendapatkan konsensus meluas bagi tindakan segera yang perlu diambil di semua peringkat untuk menangani isu perubahan iklim demi mengelakkan bencana yang boleh menimpa manusia sejagat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain