suria

Empat Senator Angkat Sumpah Anggota Dewan Negara

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Maijol Mahap antara empat yang mengangkat sumpah sebagai Senator Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau dilantik semula bagi penggal kedua untuk tempoh tiga tahun.

Tiga lagi yang dilantik sebagai anggota baru Dewan Negara untuk tempoh tiga tahun ialah Muhammad Olian Abdullah, Datuk Paul Kong Sing Chu yang masingmasing dari Umno dan MCA S.Ramakrishnan dari DAP.

Upacara angkat sumpah itu dilakukan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Wong Foon Meng dan disaksikan oleh anggotaanggota dewan berkenaan.

Maijol, 49, yang dilantik oleh Dewan Undangan Negeri Sabah, merupakan peguam selain Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu sejak 2004.

Beliau juga merupakan Naib Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak April 2007 serta Presiden Persatuan Badminton Sabah (SBA) sejak Mac 2006.

Muhammad Olian, 50, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Ekonomi Sumber) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) merupakan anggota seumur hidup Umno Cawangan Kampung Bukit Rok, Bera, Pahang.

Beliau adalah pengurus Risda Plantation Sdn Bhd cawangan Temerloh sejak Februari 2008. Kong, 52, merupakan Timbalan Pengerusi Perhubungan MCA Negeri Sabah.

Anak jati Sabah itu, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Senibina dari England, juga merupakan anggota Lembaga Pelawat bagi Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu.

Ramakrishnan pula Pengerusi Biro Perladangan, Pekerja Lombong dan Komuniti Estet DAP Selangor dan pensyarah kanan bidang perakaunan di Kolej Metropolitan, Subang.

Pada majlis itu, Dewan Negara turut bertafakur seminit sebagai memperingati Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh yang meninggal dunia pada 27 Ogos lalu di Hospital Besar Changi, Singapura akibat serangan jantung. BERNAMA

Artikel Lain