suria

Serah Kepada Polis Siasat Potret Guan Eng Dibakar

PULAU PINANG: Gerakan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes potret Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dibakar semasa demonstrasi di luar Bangunan Dewan Undangan Negeri Isnin lepas.

Presiden parti itu, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata Gerakan tidak akan mencampuri siasatan polis terhadap kes ini.

"Oleh kerana tidak mahu mencampuri siasatan polis, Gerakan memutuskan tidak akan menubuhkan sebarang jawatankuasa untuk menyiasat perkara ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di Kuil Kek Lok Si di Air Itam di sini hari ini.

Beliau berkata parti itu menentang sebarang budaya politik yang tidak bertamadun termasuk membakar patung yang menyerupai ahli politik atau memijak poster mereka.

"Saya harap membakar potret Ketua Menteri itu bukan dilakukan oleh sesiapa daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) kerana kita tidak amalkan budaya seperti itu," kata beliau.

Koh berkata tindakan itu mungkin dilakukan oleh penduduk dari Kampung Buah Pala yang juga sedang berdemonstrasi di situ.

Bagaimanapaun, Ketua Pemuda MIC negeri J. Dhinagaran dan ketua Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) M. Manikumar ditahan polis hari ini untuk memberikan kenyataan berkaitan perkara itu.

Isnin lepas, kira-kira 100 pemimpin belia BN dan penyokongnya mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan itu semasa persidangan Dewan Undangan Negeri yang kemudiannya disertai oleh beberapa penduduk Kampung Buah Pala.

Terdahulu, Koh mengumumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju memperuntukkan RM1 juta untuk dana kuil tersebut.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Kong Cho Ha. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain