suria

KANAK-KANAK UMUR 2 TAHUN DILARIKAN AMAH DITEMUI SELAMAT

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang dilarikan pembantu rumah warga Indonesia semalam ditemui selamat hari ini di sebuah stesen komuter dekat sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Zainal Rashid Abu Bakar berkata, Siti Nurdiana Aung Soe ditinggalkan di Stesen Komuter Batu Tiga kira-kira pukul 6 petang tadi bersama seorang pekerja restoran wanita warga Indonesia.

Pembantu rumah itu yang dikenali sebagai Suparmi,50, telah meninggalkan kedua-dua mereka sebaik sahaja sampai di stesen komuter itu, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, pekerja restoran itu telah menemankan Suparmi untuk mengembalikan Siti Nurdiana kepada keluarganya apabila beliau menemui mereka di sebuah restoran di ibu negara.

"Suparmi telah membawa Siti Nurdiana ke sebuah restoran di ibu negara. Melihat keadaan Suparmi yang mencurigakan, seorang pekerja restoran itu menyapa suspek dan mempersoalkan siapakah kanak-kanak perempuan itu. "Suspek (Suparmi) kemudian mengaku melarikan anak majikannya dan pekerja restoran itu kemudian berjaya memujuk mangsa untuk mengembalikan semula kanak-kanak itu kepada keluarganya," kata ACP Zainal.

Zainal menambah, Suparmi kemudian meminta pekerja restoran terbabit menemaninya untuk menghantar kanak-kanak itu pulang ke rumah dan dipersetujui oleh pekerja restoran itu yang kemudian mengikut Suparmi dan kanak-kanak itu menaiki komuter kononnya untuk pulang ke rumah majikannya.

"Bagaimanapun setelah mereka sampai di stesen Komuter Batu Tiga, Suparmi menghilangkan diri," katanya lagi.

Terkejut dengan tindakan suspek, pekerja restoran itu terus membawa Siti Nurdiana ke sebuah kedai berhampiran dan meminta bantuan tuan punya kedai menghubungi polis.

Polis yang tiba di tempat kejadian membawa mangsa dan pekerja restoran itu ke Balai Polis SS17, Subang Jaya untuk diperiksa dan diambil keterangan.

Zainal berkata, kanak-kanak itu selamat dan sihat tanpa sebarang kecederaan ketika ditemui dan keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai penemuannya.

Katanya, pembantu rumah yang tidak mempunyai permit kerja dan merupakan pendatang asing tanpa izin itu sedang diburu polis.

Semalam media melaporkan seorang tukang masak warga Myanmar Aung Soe atau Abu Hussin, 38, dan isterinya Haslinda Damanik, 35, terkejut sebaik pulang dari bekerja apabila mendapati anak mereka Siti Nurdiana dan pembantu rumah mereka tidak berada di kediaman mereka di Apartmen Brunsfields Riverview, Seksyen 13 Shah Alam.

Suparmi yang baru bekerja dua bulan dengan pasangan itu tanpa permit kerja turut membawa bersama kesemua pakaian Siti Nurdiana dan meninggalkan rumah dalam keadaan berselerak.

Sementara itu dalam kes berasingan, tindakan seorang pemandu kereta Honda yang cuba melarikan diri daripada polis nyaris mengundang padah kepadanya setelah kereta yang dipandunya terbabas setelah melanggar pembahagi jalan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) petang tadi.

Kejadian pada kira-kira 3 petang itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu suspek cuba ditahan unit kereta peronda polis yang kebetulan sedang meronda kawasan berdekatan Stadium Bola Sepak Kelana Jaya, sebelum pemandunya memecut memasuki LDP.

Ekoran itu polis mengejar kenderaan terbabit sebelum berjaya menahan suspek selepas kenderaannya terbabas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan mendapati kereta Honda berkenaan dipercayai dicuri suspek di Kelana Jaya pada 10 November lepas.

Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut, katanya.BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain