suria

Tidak Adil Heret Wanita Dalam Politik Suami - Isteri PM

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata adalah tidak adil mengheret isteri dan anak-anak dalam politik suami.

"Janganlah dibuat wanita sekecil itu, buat seolah-olah kita bahan pertaruhan dalam kancah politik. Kalau nak berpolitik, politik sahaja jangan sangkut-paut dengan wanita," kata Rosmah ketika rakaman rancangan 'Apa Kata Wanita Bersama Bersama Zamzarina' di Angkasapuri di sini semalam.

Rosmah diminta mengulas isu bai'ah PAS di mana wakil rakyat mengikrar sumpah taat setia kepada parti dan sekiranya mereka melompat parti, jatuhlah talak talak tiga ke atas isteri mereka.

Rosmah berkata politik dan rumahtangga tidak harus dicampuradukkan kerana jika isteri tertekan ia akan membawa kepada keburukan personaliti isteri dan akhirnya rumah tangga tidak bahagia.

"Kalau suami tak gembira, nak keluar pun takut (lompat parti), tak keluar pun tertekan," katanya.

Sementara itu, Rosmah juga berkata tidak mustahil Malaysia pada masa akan datang dipimpin oleh Perdana Menteri wanita berdasarkan kegigihan dan komitmen wanita yang tinggi terhadap kerjaya dan keluarga pada masa kini.

Menurut beliau, pada masa ini lebih 70 peratus daripada pelajar institusi pengajian tinggi terdiri daripada wanita dan ramai wanita menerajui pentadbiran tertinggi jabatan kerajaan dan syarikat swasta. BERNAMA

Artikel Lain