suria

Perhilitian tahan 22 lelaki dalam Operasi Pengkuatkuasaan Hidupan Liar

KUANTAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang menahan 22 lelaki termasuk seorang remaja dalam Operasi Penguatkuasaan Hidupan Liar selama sembilan hari yang berakhir semalam.

Pengarahnya Khairiah Mohd Shariff berkata semua lelaki yang berumur antara 16 dan 55 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan yang membabitkan 10 kes pemburuan hidupan liar dalam negeri.

Beliau berkata 79 anggota Perhilitan terlibat dalam operai itu, dan penahanan dibuat berdasarkan hasil maklumat orang ramai.

"Remaja itu ditahan bersama enam lelaki kerana memburu pelanduk di sebuah ladang hutan Kemasul dekat Bentong pada Sabtu lepas selepas anggota kami menahan sebuah kereta pacuan empat roda pada pukul 5.20 pagi yang berada di ladang berkenaan apabila penumpangnya nampak mencurigakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata selepas diperiksa, pihaknya menemui sembilan pelanduk dan seekor landak yang siap dilapah kulitnya disimpan di dalam bonet belakang kereta berkenaan.

Khairiah berkata pihaknya percaya hidupan liar itu untuk dijual secara kecilkecilan selain untuk dijadikan makanan sendiri.

Beliau berkata ketika ditahan, seorang daripada suspek menggunakan parang untuk mengugut supaya dia dibebaskan, namun menurutnya suspek akhirnya berjaya dikawal, dan ditahan.

Katanya keseluruhan operasi itu berjaya merampas 18 ekor pelanduk, empat ekor burung wakwak, enam laras senjata api bersama peluru, empat bilah pisau dan 88 buah perangkap pelbagai jenis.

Khairiah berkata mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Perlindungan dan Hidupan Liar 1972 kerana cuba menyeludup haiwan yang dilindungi sepenuhnya, atau Sekyen 74 (2) kerana menangkap hidupan liar pada musim yang dilarang. BERNAMA

Artikel Lain