suria

Universiti perlu tumpu tingkat kecemerlangan graduan

SINTOK: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mahu semua universiti di negara ini memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan kecemerlangan bagi melahirkan graduan yang cemerlang dan berkeperibadian tinggi.

"Proses pengajian di universiti adalah fasa terpenting yang membentuk graduan untuk menguasai ilmu pengetahuan, berusahalah mencapai tahap maksimum supaya graduan yang dilahirkan dapat menguasai ilmu dan kemahiran dengan baik," katanya pada majlis suaimesra dengan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, malam tadi.

Katanya UUM sebagai universiti yang memberi pengkhususan dalam bidang pengurusan telah mengambil langkah yang betul dalam melaksanakan programprogram pengajiannya bagi mencapai wawasan universiti itu untuk menjadi universiti terkenal dalam bidang pengurusan di peringkat global.

Mohamed Khaled berkata beliau bersedia menyertai program anjuran universiti bagi mendekatkan diri dengan para graduan untuk mengetahui dengan lebih jelas keperluan mereka.

"Saya rasa tidak lengkap jika tidak melihat dari dekat. Sebab itu saya mengambil pendekatan akan sentiasa melawat bagi mengetahui kekangan yang dihadapi pentadbiran universiti dan pelajar," katanya.

Katanya beliau akan memantau dasar-dasar universiti agar sentiasa relevan dengan pelajar dan keadaan semasa serta dilaksanakan dengan berkesan bagi mencapai matlamat yang diharapkan kerajaan. BERNAMA

Artikel Lain