suria

PGM tahan tiga lelaki disyaki edar dadah

PENGKALAN KUBOR: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor menahan tiga lelaki dipercayai pengedar dadah dan merampas 388 biji pil khayal dianggarkan bernilai RM15,520 di Kuala Jambu di sini semalam.

Timbalan Komander PGM Wilayah Tiga, Supt Sapian Salihin, berkata ketiga-tiga lelaki terdiri seorang warga Thailand dan dua rakyat tempatan, ditahan hasil intipan sepasukan anggota PGM di Kampung Derdap pada 5.05 petang.

"Ketika intipan, anggota PGM terlihat sebuah kereta dalam keadaan yang mencurigakan dan mereka mengekorinya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sapian berkata setelah menyedari mereka diekori, pemandu kereta itu bertindak memberhentikan kenderaan di Kuala Jambu dan seorang daripada mereka keluar serta dilihat mencampakkan dua bungkusan plastik berwarna hitam.

"Ketiga-tiga mereka berjaya ditahan dan pemeriksaan mendapati bungkusan berkenaan mengandungi 388 biji pil methamphetamin. Turut dirampas ialah sejumlah wang tunai dan tujuh telefon bimbit," katanya.

Sapian berkata ketigatiga lelaki berkenaan serta barang yang dirampas telah diserahkan kepada polis Tumpat untuk tindakan lanjut. BERNAMA

Artikel Lain