suria

Bakal haji diingatkan elak jangkitan H1N1 di tanah suci

KUALA LUMPUR: Bakal haji diingatkan agar sentiasa menjaga kebersihan dan kesihatan diri ketika berada di tanah suci kerana golongan ini berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Influenza A (H1N1).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata semua jemaah haji diwajibkan untuk mendapat suntikan vaksin 'seasonal influenza' (northern hemisphere formulation) di samping vaksin meningococcal yang sah selewat-lewatnya dua minggu sebelum mendapatkan visa sebagai mematuhi arahan kerajaan Arab Saudi.

"Penularan Influenza A (H1N1) di peringkat global masih aktif di mana pihak WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) melaporkan di Hemisfera Utara seperti Amerika Utara, Eropah dan Jepun telah menunjukkan trend peningkatan.

"Sementara itu, di negara Asia, penularan virus ini masih kekal dengan kadar jangkitan yang berbeza mengikut negara manakala penularan Influenza A (H1N1) di Hemisfera Selatan seperti di Australia, New Zealand dan Chile telah menunjukkan penurunan kes yang ketara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata tiada kematian didaftarkan hari ini dan menjadikan jumlah kematian kekal 77 orang manakala seramai 150 pesakit baru dengan gejala Penyakit Serupa Influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan, sementara 222 kes didiscaj.

Sehingga kini, jumlah semasa kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara adalah sebanyak 627 kes di 70 buah hospital termasuk enam hospital swasta dan daripada jumlah kes ILI yang sedang dirawat, 29 atau lima peratus pesakit disahkan kes H1N1.

"Sebanyak enam kes atau 20 peratus sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan terdapat satu kemasukan kes baru ke ICU hari ini," katanya.

Katanya enam kes yang dirawat di ICU itu mempunyai faktor risiko iaitu dua kanak-kanak di bawah lima tahun, obesiti (1), hamil (1), berumur bawah lima tahun dengan penyakit kronik (1) dan penyakit jantung (1).

Beliau berkata Kementerian Kesihatan juga ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa penularan penyakit Influenza A (H1N1) dalam komuniti masih aktif walaupun trend semasa menunjukkan penurunan.

"Orang ramai digalakkan berehat di rumah dan hanya ke klinik atau hospital apabila gejala ILI menjadi serius, terus menutup mulut dan hidung bila batuk dan bersin, elak atau kurangkan masa berada di tempat sesak seperti kompleks membeli-belah, karnival dan stesen pengangkutan awam," katanya lagi. BERNAMA

Artikel Lain