suria

Projek jambatan kedua P.Pinang dijangka siap setahun lewat iaitu pada 2013

BATU KAWAN (P.PINANG): Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, jambatan kedua Pulau Pinang yang kini sedang dalam pembinaan dijangka siap setahun lewat iaitu dari tahun 2012 kepada 2013.

Menurut beliau, kelewatan ini tidak dapat dielakkan kerana beberapa pengubahsuai ke atas rekabentuk jambatan perlu dilakukan semula.

Jambatan bernilai RM4.3 bilion itu sepatutnya dijadualkan siap sepenuhnya menjelang pertengahan tahun 2012 tetapi kini di bawah penjadualan semula ia dijangka siap sebelum April 2013.

“Pada masa ini jadual progres pembangunan jambatan ini sepatutnya telah mencapai tahap 20% tetapi malangnya ia baru mencapai 7%,” katanya kepada para pemberita selepas melawat kilang United Engineers Malaysia (UEM) di Batu Kawan, Sabtu.

Nor Mohamed berkata, pakej pertama kerja-kerja pembinaan untuk projek ini adalah bernilai RM2.2 bilion dan ia dijangka siap sepenuhnya menjelang Mei 2012.

Pakej kedua melibatkan kos bernilai RM1.55 bilion yang dijangka siap menjelang awal 2013 dan pakej terakhir melibatkan kos bernilai RM350 juta untuk kerja-kerja pembinaan di tanah besar semenanjung dan juga sebelah pulau.

Beliau menambah, projek jambatan kedua ini akan mewujudkan tidak kurang daripada 1,200 peluang pekerjaan. Jambatan sepanjang 17km itu akan menghubungkan Batu Kawan di tanah besar ke Batu Maung di sebelah pulau.

Artikel Sebelum

Artikel Lain