suria

Muhyiddin tidak yakin pakatan pembangkang akan berjaya sebagai parti komponen

PORT DICKSON: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak yakin pakatan pembangkang akan berjaya sebagai sebuah parti komponen kerana pemimpin mereka belum sanggup untuk mengenepikan kepentingan parti masing-masing.

Katanya, Barisan Nasional (BN) tetap akan hadapi mereka sama ada parti pembangkang bergabung dalam satu bentuk pakatan atau parti masing-masing.

"Bagi kita, kita tidak pernah rasa bimbang, soal urusan ini dari segi parti BN, kita sudah lama, kita sudah lebih puluhan tahun, perikatan sampai sekarang sudah terbentuk atas dasar muafakat, bukan atas keselesaan sahaja, kita ada falsafah, kita ada komitmen, kita ada dasar mewakili (semua) kaum," katanya kepada pemberita selepas Majlis Profesionalisme Warga Pendidik Daerah Port Dickson Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Wawasan Politeknik Port Dickson hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang ura-ura pembangkang akan mendaftar dengan Pendaftar Pertubuhan bagi membentuk satu perikatan yang sama dengan BN.

"...mungkin mereka fikir sudah sampai masanya mereka bersepakat. Itu kita tidak tahulah pasal ini hak mereka dan sama ada proses itu dapat dilakukan mengikut undang-undang itu adalah urusan mereka," katanya.

"Kita ada 14 buah parti termasuk yang mewakili kaum di Sabah dan Sarawak, semua ada, jadi kita sudah mendahului mereka selama empat dekad lamanya, terserah pada mereka apa yang mereka nak buat, dia mungkin buat itu sebagai satu cara untuk menunjukkan mereka sudah bersatu," katanya.

Katanya, rakyat pun mengetahui bahawa dalam masa beberapa bulan kebelakangan ini, pentadbiran pakatan pembangkang di beberapa negeri sudah mula menampakkan perbezaan terutama kerana ideologi Pas dan DAP sangat bertentangan.

"Pas masih memperjuangkan dasar penubuhan negara Islam dan walaupun dia tidak sebut lagi tetapi dasar itu masih ada, adakah Pas sanggup menukar perlembagaan partinya.

"Apa makna Pas jadi pakatan tetapi ideologinya tak jelas, maknanya dia nak korbankan Islam yang dia nak Islam itu atau dia akan ikut apa yang DAP mahu, dan PKR, apa dasar perjuangannya?, apakah ideologinya?, adakah sama dengan Pas?" katanya.

Beliau mahu pemimpin Pas, Nik Aziz Nik Mat menjawab persoalan ini, adakah Pas bersedia mengenepikan perjuangan parti itu untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

"Adakah DAP akan ikut apa yang dikehendaki oleh Pas, dan sebab itu dia setuju untuk tubuhkan pakatan, jadi jangan besok dia buat satu pakatan, akhirnya rakyat yang tertipu," katanya.

"Jadi siapa yang sebenarnya lebih ikhlas untuk membela semua kaum," soal Muhyiddin. BERNAMA

Artikel Lain