suria

BN tidak pernah bangkit soal undi pos walapun kalah - Tengku Adnan

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak pernah mempertikaikan sistem undi pos walaupun undi itu tidak berpihak kepadanya pada pilihan raya kecil sebelum ini.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pada pilihan raya kecil Parlimen Telok Kemang sembilan tahun lepas, jumlah undi daripada undi pos yang diraih calon BN Datuk S. Sothinathan adalah kurang berbanding yang diperoleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ruslan Kassim.

"Tapi BN tak buat bising pun dengan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya)," katanya pada sidang media mengenai Perhimpunan Agung Umno 2009 di sini hari ini.

Pada pilihan raya kecil 10 Jun, 2000 itu, Sothinathan walaupun menang tetapi daripada segi pungutan undi daripada 5,005 undi pos pada masa itu, Ruslan mendapat lebih 108 undi berbanding Sothinathan.

Majoriti undi yang diperoleh Sothinathan iaitu sebanyak 5,972 undi juga jauh berkurangan daripada majoriti 9,942 undi pada pilihan raya umum 1999 yang dimenangi oleh mendiang S.R. Anpalagan dari BN. Tengku Adnan berkata tindakan PAS membangkitkan isu undi pos pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang di Negeri Sembilan serta asyik menyalahkan SPR berhubung perkara itu menampakkan mereka sudah hilang hala tujuan disebabkan ingin menang dalam pilihan raya kecil itu Ahad ini.

Beliau mengulas tindakan PAS Rabu lepas yang beruraura ingin memohon perintah injunksi di mahkamah bagi menghalang 253 pengundi pos daripada mengundi semalam atas dakwaan wujud pertindihan nama dalam senarai daftar pemilih SPR di DUN Bagan Pinang.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang menyaksikan calon BN Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berdepan dengan Pesuruhjaya PAS negeri Zulkefly Mohamad Omar.

Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran penyandangnya Azman Mohammad Noor dari BN meninggal dunia pada 4 September lepas.

Sementara itu, Tengku Adnan turut mengingatkan semua jentera parti serta penyokong Umno di Bagan Pinang supaya bersabar, berhatihati dan tidak mudah terpengaruh dengan provokasi atau dakyah yang cuba dimainkan oleh pembangkang untuk mengelakkan tercetusnya kekecohan.

Artikel Lain