suria

Panggilan akhir untuk pemohon kerakyatan Malaysia

PUTRAJAYA: Temuduga untuk taraf kewarganegaraan Malaysia akan diadakan dari 12 Oktober hingga 14 Oktober.

Setiausaha Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan Kementerian Dalam Negeri Datin Jariah Mohd Said berkata 2,303 pemohon taraf kerakyatan tidak boleh dihubungi melalui pos dan mereka dinasihat untuk mendapatkan tarikh temuduga dengan melayari laman web Kementerian Dalam Negeri di www.moha.gov.my di bawah menu 'services' mulai esok.

Beliau berkata temuduga itu ialah bagi kumpulan kedua permohonan iaitu dari tahun 1997 hingga 2006 dan pemohon tidak akan diberi peluang kedua untuk temuduga.

"Kami cuba mengesan pemohonpemohon taraf kewarganegaraan ini melalui penghantaran surat oleh Jabatan Pendaftaran Negara bagi memaklumkan mereka mengenai temuduga itu tetapi surat itu dikembalikan kerana tidak dapat disampaikan.

"Temuduga ini adalah untuk menentukan status mereka sekarang," katanya.

Jariah berkata mengikut Perlembagaan, menghadiri temuduga adalah satu daripada syarat untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan.

"Bagi kumpulan pertama, kami mengeluarkan maklumat melalui akhbar untuk pemohon yang tidak dapat dihubungi. Lebih kurang 70 peratus daripada pemohon hadir untuk temuduga," katanya.

Beliau berkata pemohon mesti memaklumkan kepada kementerian mengenai perubahan alamat selepas mereka membuat permohonan untuk taraf kerakyatan. BERNAMA

Artikel Lain