suria

Tukang urut warga China terlepas hukuman gantung

KUALA LUMPUR: Seorang tukang urut lelaki warga China terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini mengubah tuduhan membunuh kepada tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat terhadap rakan senegaranya lima tahun lalu.

Hakim Datuk Zaharah Ibrahim menjatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun terhadap Jin Jinggan, 48, bermula dari tarikh dia ditangkap, 19 Sept 2004.

Zaharah dalam penghakimannya berkata pihak pendakwaan telah gagal membuktikan niat Jin dalam melakukan pembunuhan melampaui keraguan yang munasabah.

Namun mahkamah berpuashati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di bawah Seksyen 304(b) Kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Jin didapati menyebabkan kecederaan parah terhadap rakan lelaki sebiliknya, An Yong Fan, 49, sehingga membawa kepada kematiannya di sebuah unit Apartmen Kenanga, Taman Putera Sulaiman, Ampang, di sini antara 1 pagi hingga 2.45 pagi, 19 Sept 2004.

Mengikut fakta kes, berikutan satu perselisihan, Jin telah menggunakan satu objek tajam untuk menikam An di bahagian dada dan mangsa meninggal dunia dua jam selepas dimasukkan ke hospital.

Jin yang diwakili peguam Ramesh Sivakumar, dalam rayuannya berkata anak guamnya menyerah diri kepada polis selepas kejadian dan kini telah insaf setelah ditahan reman lebih lima tahun. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

7 Oktober hari perdamaian PAS-DAP?

Artikel Lain