suria

Pemilik kedai kereta terpakai mati ditembak

ALOR SETAR: Seorang ahli perniagaan mati ditembak berhampiran premis perniagaannya di Jalan Telok Wanjah di sini semalam.

Cheng Chew Keat, 39, pemilik kedai menjual kereta terpakai yang juga bekas pemain badminton Kedah, mati di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Mohd Zakaria Ahmad berkata kejadian belaku pada pukul 6.15 petang ketika Cheng, yang baru keluar dari premisnya, berjalan ke arah keretanya yang diletakkan di seberang jalan.

"Suspek dipercayai telah menunggu mangsa dan apabila mangsa menghampiri keretanya, dia melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat ke arah mangsa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata suspek melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna gelap.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, abang mangsa, Cheng Chun How, 40, berkata ketika kejadian beliau berada di premis mangsa dan adiknya memberitahu hendak pulang ke rumah.

Mangsa yang telah 20 tahun menjalankan perniagaan itu meninggalkan isteri, Cheng Wan Leng, 38, dan dua anak iaitu seorang lelaki Cheng Si Don, 16 dan perempuan Cheng Su Ee, 14. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

7 Oktober hari perdamaian PAS-DAP?

Artikel Lain