suria

Perompak larikan barang kemas bernilai RM600,000

MELAKA: Dua lelaki, seorang daripadanya dikatakan bersenjatakan pistol melarikan barangan kemas bernilai kira-kira RM600,000 dari sebuah kedai emas di Jalan Bunga Raya di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Salehhudin Abd Rahman berkata kejadian dilapor berlaku pada pukul 10.10 pagi selepas pemilik kedai emas berkenaan membuka kedai untuk memulakan perniagaan pada pukul 9.40 pagi.

Berdasarkan siasatan awal, perompak terbabit memasuki kedai itu dan mengarahkan pemilik kedai menyerahkan dulang yang mengandungi barang kemas yang dipamer, katanya kepada pemberita di sini.

Salehhudin berkata keduadua lelaki itu melarikan diri dengan sebuah motosikal yang diletakkan di depan kedai itu.

Beliau berkata ketika kejadian tiada pelanggan dalam kedai dan pemilik kedai berkenaan tidak dapat mengecam perompak terbabit kerana mereka memakai topi baseball dan menutup muka dengan sapu tangan.

Siasatan juga mendapati kedai berkenaan tidak dipasang CCTV dan alat penggera, katanya. Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya mengubungi Pegawai Penyiasat ASP Lee Chen Shim melalui nombor 062838338 atau balai polis berhampiran. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain