suria

Malaysia mahu penjelasan keenganan Kedutaan Indonesia perbaharui paspost pembantu rumah

PUTRAJAYA: Malaysia mahu penjelasan daripada kerajaan Indonesia berhubung keengganan kedutaannya di Kuala Lumpur untuk memperbaharui pasport pembantu rumah yang bekerja di sini dan meletakkan pelbagai syarat untuk memperbaharui pasport.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata Kabinet dalam mesyuaratnya pagi ini mengarahkan Kementerian Luar dan Atase Kementerian Sumber Manusia di Jakarta untuk mendapatkan penjelasan sewajarnya berhubung tindakan kedutaan itu daripada kerajaan Indonesia. "Kami menerima aduan daripada pembantu rumah, majikan selain ejen bahawa Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur enggan memperbaharui pasport pembantu rumah warga Indonesia.

"Mereka bertanya jumlah gaji yang dibayar (kepada pembantu rumah) dan jika kurang daripada RM600, pasport mereka tidak akan diperbaharui. Sungguhpun diperbaharui, pelbagai syarat akan dikenakan. Perkara ini telah berlaku sejak sebulan lepas," katanya kepada pemberita.

Subramaniam berkata demikian sebelum mengadakan pertemuan dengan guru sementara sekolah Tamil yang akan menghadiri program 'kursus dalam cuti', yang akan membolehkan mereka menjadi guru tetap.

Tahun lepas, kira-kira 300 guru sementara sekolah Tamil menghadiri program itu dan tahun ini, jumlah itu dijangka meningkat kepada 500 orang.

Dr Subramaniam berkata tindakan kedutaan itu tidak dimaklumkan kepada kerajaan Malaysia terlebih dahulu.

"Tindakan mereka ini adalah luar biasa. Mereka sepatutnya memberitahu kami menerusi saluran yang betul. Saya harap mereka dapat memberikan penjelasan sewajarnya berhubung perkara ini. Ia seharusnya dilakukan menerusi keizinan dan persetujuan bersama. Kami harap akan mendapat penjelasan itu dalam masa dua atau tiga minggu," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata majikan, terutamanya dalam sektor pengeluaran, perlu cuba menggaji pekerja tempatan terlebih dahulu dengan gaji yang bersesuaian sebelum membawa masuk pekerja asing.

"Mereka mesti menawarkan pekerjaan kepada pekerja tempatan dengan gaji RM600 hingga RM650 dan jika tiada sambutan, mereka bolehlah memohon untuk membawa masuk pekerja asing. Pekerja asing ini juga mesti dibayar jumlah gaji yang sama.

"Ini bagi memastikan majikan tidak menggaji pekerja asing sesuka hati mereka dan membayar gaji rendah. Ia juga akan mengakibatkan pengangguran dalam kalangan pekerja tempatan yang mencari pekerjaan," kata Dr Subramaniam.

Beliau berkata kerajaan sedang berusaha untuk menaikkan gaji pekerja dalam beberapa sektor dan Majlis Gaji ditubuhkan untuk tujuan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain