suria

A(H1N1): Tiada kematian dicatatkan sejak enam hari lepas

KUALA LUMPUR: Tiada kematian baru akibat Influenza A(H1N1) dilaporkan sejak enam hari lepas menjadikan bilangan kematian akibat wabak itu di Malaysia kekal 73 sehingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata 1,175 kes 'influenzalike illness' (ILI) sedang dirawat di 98 buah hospital termasuk 11 hospital swasta di seluruh negara, di mana daripada jumlah itu hanya 275 pesakit atau 23 peratus disahkan positif H1N1.

Beliau berkata daripada 275 kes yang disahkan positif, 41 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana tiga kes adalah kemasukan baru sementara dua kes lagi sudah keluar.

Katanya daripada 41 kes berkenaan, 33 mempunyai faktor risiko seperti penyakit respiratori, Diabetes Mellitus, penyakit ginjal kronik, penyakit immunosuppressive, penyakit neurologi kronik, wanita hamil, obesiti dan kanak-kanak bawah lima tahun.

"Seramai 173 pesakit baru dengan gejala ILI dimasukkan ke hospital untuk rawatan sementara 174 kes sudah discaj," katanya dalam satu kenyatan media berhubung situasi terkini wabak H1N1 dalam negara.

Sementara itu Dr Mohd Ismail berkata Kementerian Kesihatan meminta kerjasama petugaspetugas yang mengawasi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) supaya mengasingkan pelajar yang mempunyai gejala ILI daripada pelajar yang sihat selain meminta mereka memakai topeng.

"Ini kerana selagi pelajar itu masih mempunyai tandatanda atau gejala, dia masih mengeluarkan virus dari batuk atau bersin dan boleh menjadi punca jangkitan kepada pelajar lain," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain