suria

Iklan jawatan di luar negara: Jab Pengajian India UM terima respon positif

PETALING JAYA: Dalam usahanya untuk menyelesaikan kemelut kepimpinan di Jabatan Pengajian India, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) telah mengiklankan kekosongan jawatan ketua jabatan tersebut di luar negara dan kini telahpun menerima maklum balas yang memberansangkan.

Perkara ini telah disahkan oleh Naib Canselor UM, Profesor Datuk Dr Ghauth Jasmon sambil menambah, mereka telah menerima permohonan daripada calon-calon yang berkelayakan dari India dan juga dalam negara.

“Kami sedang mencari seorang calon yang neutral daripada luar universiti ini untuk menerajui jabatan berkenaan. Sehingga calon yang sesuai ditemui, Jabatan Pengajian India akan terus diterajui buat sementara waktu oleh Profesor Dr Mohammad Raduan Mohd Ariff,” kata Prof Dr Ghauth kepada The Star.

Kepada satu soalan, Prof Dr Ghauth berkata, langkah yang diambilnya adalah perlu untuk mengembalikan integriti akademik Jabatan Pengajian India UM.

Sebelum ini akhbar The Star dan juga mStar Online telah melaporkan kekecohan dan krisis kepimpinan yang timbul di jabatan tersebut ekoran pergaduhan serta pertikaman lidah di antara dua kumpulan yang bercakaran untuk mengisi jawatan ketua jabatan.

Jabatan Pengajian India UM hanya mempunyai lapan orang kakitangan akademik sahaja tetapi terbahagi kepada dua kumpulan yang tidak dapat berkompromi siapa di kalangan mereka yang patut menerajui jabatan.

Malah isu yang melanda jabatan tersebut tidak terhenti setakat itu sahaja sebaliknya terdapat juga laporan yang menyatakan setiap tahun terlalu ramai calon ijazah pertama dianugerahkan dengan kepujian kelas pertama sehingga melebihi 50% daripada jumlah calon.

Misalnya bagi sesi akademik 2009/2010, sembilan daripada 14 pelajar ijazah pertama di jabatan tersebut telah dianugerahkan dengan ijazah sarjana muda dengan kepujian kelas pertama - sesuatu yang menurut Prof Dr Ghauth Jasmon sendiri tidak pernah berlaku pada mana-mana jabatan pun di universiti tersebut.

Di atas kesemua kemelut ini, UM turut menerima tekanan daripada parti politik seperti MIC yang mahukan jawatan ketua jabatan dikembalikan kepada seorang pensyarah dari kalangan etnik India sebagaimana menjadi tradisi jabatan berkenaan sejak sekian lama.

Artikel Lain