suria

Pakatan yakin kekalkan kerusi Permatang Pasir

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Pakatan Rakyat akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir yang kini kosong.

Anwar yang merupakan ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, Pakatan menanti pilihan raya kecil itu dan yakin Barisan Nasional akan tewas.

"Kita menanti pilihan raya itu. Harap-harap BN tidak berhasrat untuk bertanding seperti sebelum ini (di DUN Penanti).

"Insya-Allah kita akan dapat kalahkan mereka juga di Permatang Pasir," katanya ketika forum 'Najib's 100 Days, What Went Wrong?' yang dianjurkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, malam tadi.

Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir akan diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, daripada PAS kerana sakit jantung di di Institut Jantung Negara (IJN) di sini.

Ia bakal menjadi pilihan raya kecil ketiga di Permatang Pauh sejak pilihan raya umum 8 Mac - pertama melibatkan kawasan Parlimen itu pada Ogos tahun lalu yang dimenangi Anwar selepas isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen dan kedua pada Jun tahun ini di DUN Penanti selepas ADUN kawasan itu, Mohammad Fairus Khairuddin melepaskan jawatan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang dan ADUN.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain