suria

Katerer ditemui mati dibunuh di rumahnya

KUANTAN: Hasrat seorang anak perempuan untuk makan tengahari bersama ayahnya musnah apabila menemui bapanya terbaring berlumuran darah dipercayai dibunuh di rumahnya di Lorong Cenderawasih 45, perkampungan Cenderawasih di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata dalam kejadian antara pukul 10 hingga 11 pagi itu, M. Segaran, 63, yang bekerja sebagai katerer tinggal seorang diri selepas anak perempuannya, Sharmina Devi, 25, keluar bekerja manakala isteri dan empat anak yang lain berada di kampung mereka di Johor sejak seminggu lepas.

Beliau berkata Sharmina Devi yang merupakan anggota Kastam Diraja Malaysia pulang ke rumah pada kira-kira pukul 12 tengah hari untuk makan bersama ayahnya tetapi hanya menemui mayat bapanya di ruang tamu rumah.

Mohd Jasmani berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya kejadian itu bermotifkan samun kerana keadaan rumah yang berselerak.

Segaran mengalami pendarahan di bahagian kepala dan hidung namun tiada kesan luka ditemui, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibupejabat Polis Daerah Kuantan di talian 095142999 bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Lain