suria

Najib tidak mahu mahasiswa jadi pembudaya fitnah dan beromongan jahat

SHAH ALAM:Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan pemimpin-pemimpin pelajar agar mengkritik secara bijak dan bukan mengkritik membuta tuli.

"Pastinya kita ingin kepimpinan mahasiswa yang dinamik dan subur pemikirannya dalam melontarkan pandangan dan pendapat," katanya.

Najib juga berpesan agar pempimpim mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menggunakan kewarasan mereka sebagai mahasiswa dalam menapis dan menyaring maklumat yang diterima.

Beliau berharap mahasiswa tidak menjadi pembudaya fitnah dan omongan jahat.

"Mereka perlu berpegang teguh kepada prinsip kejujuran intelektual dalam menilai dan memperhalusi sesuatu itu itu.

"Kita faham, era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berlalu. Namun tidak ada juga sesiapa yang boleh memonopoli kebenaran atau kebijaksanaan," katanya ketika menutup Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam (ISCO 09) di Universiti Teknologi Mara Shah Alam hari ini.

Najib turut menitipkan beberapa pesanan kepada semua pemimpin mahasiswa.

"Pesanan pertama saya, untuk menunjang kepimpinan mahasiswa, segala initiatif hendaklah relevan dengan zaman. Maksudnya, dari segi aktiviti dan program yang dijalankan mestilah mementingkan kepada keperluan belia sebagai klien. Maknanya, janganlah kegiatan mahasiswa bersifat syok sendiri dan lupa kepada asasnya iaitu membantu dan membimbing golongan muda dan rakan semahasiswa khususnya agar terus berada di landasan yang betul."

Keduanya, kata Najib, para pemimpin mahasiswa sewajibnya memenuhkan ilmu di dada. Jadilah seorang mahasiswa yang multilingual, multitask dan multiskill. Era dunia kini adalah peperangan minda dan bukan lagi ketenteraan atau adu fizikal. Siapa yang hebat penguasaan mindanya adalah juara....'empire of the minds' menentukan perjuangan.

Jelas Najib, pihak kerajaan akan sentiasa menyokong sepenuhnya inisiatif pemimpin baru yang dilatih mengikut asas kepimpinan menurut landasan yang betul.

"Mustahaknya, kita tidak mahu mahasiswa terbabas daripada jalan yang sewajarnya. Kita juga tidak mahu kepimpinan mahasiswa dipengaruhi oleh elemen-elemen yang tidak sihat.

"Hal yang menyedihkan kita adalah, terdapat di kalangan pemimpin mahasiswa yang dilihat berpotensi mengetuai gerakan pelajars ecara samar sehingga terlibat melakukan tindakan agresif, rusuhan dan demonstrasi. Ini semua adalah corak kepimpinan yang sudah ketinggalan zaman serta mencemarkan maruah mahasiswa. Untuk itu, kerajaan akan senantiasa memantau perkembangan dan pergerakan mereka dari semasa ke semasa," kata Najib.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Kelab Damai (Dewan Amal Islam Hadhari) IPTA yang menjadi penaung kepada pergerakan persatuan-persatuan Islam di institusi pengajian tinggi awam di seluruh negara.

Selain itu, Najib berkata segala aktiviti yang dirancang oleh pimpinan mahasiswa perlulah relevan dengan zaman dan dalam konteks ini mahasiswa perlu mengutamakan keperluan belia di dalam program-program yang dijalankan mereka.

Artikel Lain