suria

Lelaki disyaki pengedar dadah maut kereta terbalik dalam tali air

ALOR SETAR: Seorang lelaki yang dipercayai pengedar dadah mati setelah kereta yang dipandunya terbabas dan terbalik dalam tali air ketika cuba melarikan diri daripada polis.

Dalam kejadian 4.45 pagi tadi itu, lelaki berusia 20 tahun itu bersama rakannya sedang memandu di Jalan Putra di sini dan anggota polis yang membuat rondaan mengekori mereka kerana mendapati mereka mencurigakan, kata Ketua Jabatan Siasatan Narkotik Kedah, Supt Baharom Othman.

Beliau berkata bahawa setelah menyedari mereka diekori, pemandu terbabit terus memecut sebelum kereta yang dipandunya terbabas dan terbalik dalam tali air di Kampung Telaga Mas di Jalan Langgar di sini.

Pemandu yang maut akibat tersepit dan lemas itu berasal dari Pokok Sena manakala rakannya diselamatkan oleh orang kampung yang menyaksikan kejadian. "Polis kemudiannya menahan lelaki yang terselamat itu dan setelah membuat pemeriksaan dalam kereta itu, menemui empat paket kecil dadah dipercayai ganja, empat straw syabu dan alat menghisap dadah yang disembunyikan dalam kereta," kata Baharom. BERNAMA

Artikel Lain