suria

Manek Urai:Majoriti tipis bukti pengundi mahu pembangunan

KUALA KRAI: Kemenangan tipis PAS di Manek Urai dengan majoriti 65 undi membuktikan sebahagian besar pengundi kawasan itu mahu pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ia juga menepis anggapan bahawa pembangunan fizikal tidak diperlukan di kawasan itu yang mempunyai lebih 80 peratus daripada 30,000 penduduk berpendapatan rendah seperti pekebun kecil dan penoreh getah.

Sekalipun BN kecundang dalam usahanya menawan kubu kuat PAS itu, namum mesej pembangunan dan pembelaan yang cuba dibawa menepati sasaran pengundi di Manek Urai.

Dari sudut politik ianya dilihat sebagai tamparan kepada PAS, yang pada awalnya yakin mempertahankan kawasan itu dengan majoriti selesa sehingga 2,000 undi mengikut bancian awal.

Sepanjang lapan hari berkempen, BN berjani akan membawa pembangunan di kawasan itu, antara lain membina jambatan baru di Manek Urai Lama dan Masjid di Temalir selain berhasrat menjadikan Manek Urai sebagai Kota Agropolitan.

Agenda pembangunan itu disangkal PAS dengan mendakwa BN hanya mementingkan "urusan dunia" dengan pembangunan fizikal dan meninggalkan tuntutan agama.

Tidak seperti BN yang menjelaskan apa yang ditawarkannya kepada penduduk Manek Urai, PAS dan pakatan pembangkang lebih cenderung memainkan isu agama, isu royalti minyak, selain menggunakan beberapa isu nasional seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan krisis politik di Perak.

Kemenangan tipis itu sebagai "kemenangan moral" kepada BN Kelantan pimpinan Datuk Mustapa Mohamed yang berjaya mengurangkan majoriti 1,352 kepada 65 undi.

"Faktor jentera BN yang berkesan dan sistematik membawa kepada keputusan itu," kata pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Tanpa menjelaskan apa yang akan dilakukan parti itu di Manek Urai, PAS dilihat lebih "ofensif" dengan serangan peribadi kepada kepimpinan UMNO dan BN selain menjawab setiap serangan ditujukan kepadanya.

Antaranya mengenai isu kerajaan perpaduan yang berjaya dimanipulasi parti itu dengan membawa timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, pada saat-saat akhir kempen untuk mengembalikan sokongan penyokongnya.

"Isu kerajaan perpaduan dianggap selesai apabila Nasha cium tangan Tok Guru Nik Aziz (Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat)," kata penyokong PAS merujuk kepada isu itu yang ditentang keras Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS. Nik Abdul Aziz sebelum ini meminta Anggota Parlimen Bachok itu melepaskan jawatan jika beliau meneruskan idea kerajaan perpaduan bersama UMNO, yang asalnya dicadangkan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Calon PAS Mohd Fauzi Abdullah, 50 memperoleh 5,348 undi untuk menewaskan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, yang mendapat 5,283 undi.

Peratusan keluar mengundi juga melepasi sasaran 85 peratus kepada 87 peratus atau 10,631 daripada 12,293 pemilih di sembilan peti undi.

Namun bagi penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussein, keputusan di Manek Urai itu tidak menggambarkan penolakan kepada manamana parti bertanding kerana majoritinya yang tipis.

"Ia juga bukan kekalahan total kepada BN," kata Ahmad Atory.

Dari sudut lain, kekalahan "tidak dramatik" itu juga memberikan semangat baru kepada BN selepas parti itu hanya menang satu daripada enam pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini sejak awal tahun.

"Kejayaan merapatkan jurang itu mengembalikan semangat UMNO bahawa mereka masih diterima orang Melayu khususnya di Kelantan," kata Ahmad Atory.

Sekalipun tidak memihak kepada BN, keputusan di Manek Urai merupakan peringatan kepada PAS bahawa mereka tidak boleh lagi mengikut lenggok lama untuk memisahkan antara pembangunan rohani dan jasmani.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Ismail Yaacob dari PAS pada 22 Mei akibat sakit jantung.

DUN Manek Urai terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krai.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain