suria

Polis temui dadah pada suspek kes langgar lari

MELAKA: Seorang lelaki berusia 30an dipercayai pengedar dadah ditahan polis setelah melarikan diri ekoran kemalangan jalan raya di Muar, Johor sebelum ditangkap di Kandang, dekat sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Mohd Adnan Abdullah berkata suspek yang berasal dari Bandar Melaka di sini, telah melanggar sebuah motosikal di Jalan Sungai Balang, Parit Jawa, Muar kirakira 9 malam.

Sejurus kemudian, lelaki itu melarikan diri ke arah Melaka melalui lebuh raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dan dikejar oleh dua buah kereta peronda pelbagai guna (MPV) polis dari Muar. Sebuah MPV dari Melaka Tengah turut membantu mengejar suspek.

"Selepas dikejar selama lebih sejam, suspek melanggar sebuah kereta di lampu isyarat di Kandang, Melaka kira-kira 10.20 malam," katanya pada sidang akhbar sini hari ini.

Mohd Adnan berkata hasil siasatan ke atas suspek selepas kemalangan itu, polis menemui dalam poket seluarnya 60 biji pil ecstasy, satu paket plastik putih dipercayai syabu dan sebiji pil eramin.

"Suspek yang mengalami kecederaan mata akibat kemalangan, kini ditahan reman selama empat hari," katanya.

Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain atas kesalahan lalu lintas menurut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan, kata Mohd Adnan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain