suria

H1N1: PBT diarah pantau kebersihan tandas awam

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau serta memastikan tahap kebersihan di semua tandas awam berada pada tahap yang memuaskan dan bebas daripada sebarang wabak.

Menterinya Datuk Seri Kong Cho Ha berkata ini sebagai usaha mempertingkatkan lagi tahap kebersihan tandas awam dalam menangani wabak influenza A (H1N1), sepertimana yang tercatat dalam 10 langkah menangani penularan wabak itu.

"Kementerian menegaskan bahawa pihak berkuasa tempatan perlu sentiasa peka terhadap kebersihan tandas awam dan jika perlu penguatkuasaan undang-undang akan diketatkan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya pihak berkuasa tempatan perlu mengadakan pemeriksaan berkala bagi memastikan kemudahan asas tandas disediakan dengan sempurna dan memenuhi kehendak pengguna.

Kong berkata sektor swasta juga boleh memainkan peranan yang aktif di dalam kempen kebersihan tandas awam sama ada untuk jangka masa pendek dan juga jangka masa panjang. BERNAMA

Artikel Lain