suria

Sidang Parlimen bermula; konsep 1Malaysia dan krisis Perak 'curi tumpuan'

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat yang pertama sejak Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dilantik sebagai Perdana Menteri bermula pagi ini dengan soalan pertama menjurus kepada konsep Satu Malaysia.

Sidang yang bermula pukul 10 pagi ini merupakan mesyuarat kedua penggal kedua Parlimen Ke-12.

Najib juga mempengerusikan mesyuarat pramajlis membabitkan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) selama sejam. Sidang terdahulu ditangguhkan Mac lalu.

Berdasarkan aturan urusan mesyuarat yang diedarkan sebentar tadi, soalan pertama itu dikemukakan oleh Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohd. Sadique.

Najib yang juga Pengerusi BN memperkenalkan konsep Satu Malaysia apabila mengambil alih kepimpinan sebagai Perdana Menteri yang keenam.

Beliau menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas.

Ekoran perubahan kepimpinan, Abdullah kini diberikan tempat duduk di kerusi pertama blok "E", bertentangan dengan tempat duduk Speaker.

Soalan kedua pula menyentuh perkembangan krisis politik Perak yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu minta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyatakan kewajaran dan peruntukan undang-undang yang membolehkan polis menceroboh persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada 7 Mei lalu.

Sidang kali ini juga menyaksikan sesi angkat sumpah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Beliau dipilih sebagai wakil rakyat pada pilihan raya kecil 7 April lalu.

Ketika ditemui mStar Online, Nizar memberitahu, beliau sangat menantikan sidang ini.

"Saya akan membangkitkan beberapa perkara penting," kata beliau dengan ringkas.

Malah mesyuarat kali ini juga merupakan yang pertama selepas pembentukan Kabinet baru, yang turut menyaksikan muka-muka baru anggota jemaah menteri.

Berdasarkan aturan urusan mesyuarat, sebanyak 10 rang undang-undang dijadual akan melalui bacaan kali kedua.

Ia termasuklah Rang Undang-undang Latihan Khidmat Negara (Pindaan) 2008, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2008, Makanan Haiwan 2008, Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2008 dan Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008, Jawatankuasa Etika Hakim 2008.

Yang lain ialah Rang Undang-undang Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) (Pindaan) 2008, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009, Orang-orang Papa (Pindaan) 2008 dan Lembaga Kayu Malaysia (Perbadanan) (Pengesahan) 2009.

Artikel Lain