suria

Satu impian hahir satu bangsa dan negara - Najib

KUCHING: Kerajaan mempunyai satu impian untuk melahirkan satu bangsa dan satu negara selaras dengan amalan konsep 1Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain memupuk perpaduan kaum dan pertimbangan dasar yang adil, beliau berharap ikatan satu Malaysia itu akan menjadi satu penyatuan dan kesatuan di antara wilayah di Semenanjung, Sarawak dan Sabah dalam membina masa depan yang lebih baik bagi rakyatnya.

"Walaupun Semenanjung dan Sarawak serta Sabah berpisah dengan Lautan China Selatan, kita ada satu impian sahaja dan bukan tidur satu bantal mimpi lain-lain," katanya pada majlis rumah terbuka Malaysia Gawai Dayak 2009, anjuran bersama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan kerajaan negeri Sarawak, di Stadium Perpaduan Negeri di sini Sabtu malam.

Sambutan bertemakan "1Malaysia - Segulai Sejalai" (1Malaysia - Seiring Sejalan) yang bermaksud musim pembaharuan alam itu turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Salahuddin Abang Barieng, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Najib berkata sambutan Gawai, yang berupaya mengeratkan semangat perpaduan di kalangan masyarakat terlibat, yang telah memperoleh hasil tuaian daripada keringat dan penat lelah, amat bertepatan kerana contoh terbaik 1Malaysia dapat dilihat di Sarawak.

"Di mana pun kita berada sama ada di rumah panjang yang jauh di pedalaman atau di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, kita tetap 1Malaysia yang tercinta," kata Najib, merujuk kepada sambutan itu sebagai usaha kebangkitan semangat untuk menyemarakkan semula perpaduan dan persaudaraan antara pelbagai kumpulan etnik di negara ini di bawah bumbung 1Malaysia.

Beliau berkata suasana kehidupan rakyat yang penuh warna-warni dan harmonis daripada segi kebudayaan dan pakaian dapat dirasai di Sarawak, yang boleh dianggapkan sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.

Katanya 1Malaysia membawa pengertian daripada sudut komitmen kerajaan bahawa semua kaum dan kumpulan etnik wajar mendapat pertolongan serta pembelaan kerajaan supaya wujud sebuah negara yang mengamalkan prinsip keadilan sosial.

"Saya harap mesej ini kita akan lahirkan dalam perhimpunan ini sebagai satu manifestasi hasrat murni kita untuk terus berjuang dan melaksanakan apa juga program supaya setiap etnik dan masyarat di Sarawak dan negara ini akan merasa untung nasib mereka terbela melalui kerajaan kita yang berdiri atas konsep 1Malaysia," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata sesuai dengan konsep itu, kerajaan memastikan bahawa rakyat yang masih ketinggalan dan lebih miskin akan mendapat bantuan yang lebih, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

Misalnya, kata Najib kerajaan memberi pertimbangan khusus kepada masyarakat luar bandar, termasuk di Sarawak dan Sabah apabila menawarkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam baru-baru ini.

Beliau yakin rakyat dapat seiring sejalan selaras dengan tema majlis berkenaan, lebih-lebih lagi apabila Sarawak membuat keputusan tepat dalam menyertai kesatuan negara Malaysia selama 46 tahun dengan berbekalkan semangat kekitaan.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Taib yang telah membawa Sarawak menjadi sebuah negeri yang dinamik pembangunannya, beliau berkata perpaduan dalam kepelbagaian adalah formula kerajaan sedia ada.

Kerajaan, katanya akan terus berusaha meningkatkan kemakmuran di samping menyediakan kemudahan asas yang masih belum mencukupi supaya rakyat, khasnya yang tinggal di kawasan pedalaman tidak akan ketinggalan dalam mengecapi arus pemodenan.

Najib berkata beliau akan membuat lawatan ke Sarawak sebanyak tiga kali pada bulan ini sahaja bagi menunaikan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri. BERNAMA

Artikel Lain